Followers

Tuesday, April 6, 2010

Prolog: Sebuah pertemuan


Pagi itu redup, nyaman. Terasa nikmat kurniaan Allah di hati. Damai yang menyebabkan rasa untuk ingin terbang ke langit biru. Seindah namanya, Taman ilmu dan budi.

Burhanudin memerhatikan keadaan sekeliling. Seputar melihat bangunan-bangunan megah nan indah di Uia. Agak tidak tersusun dan berselirat, tapi unik. Seakan aturan-aturan lego yang berselerak. Dia kemudian berjalan menyusuri aluran simen yang lurus, yang ditepinya berserakan papan-papan kenyataan persatuan.

Dia berhenti sejenak, tertarik dengan satu papan kenyataan yang agak cantik. Kemas, dan bersih.

"Frc".

Ketika pertama kali mendengar namanya, terasa ingin ketawa. Hah, Frc? Bunyinya, seakan Fried Rice Chicken pula. Jika tidakpun, amat hampir seperti nama kedai makanan segera. Kfc.

Dia kini sedang menuruni tangga, tangga bawah tanah di sebuah pejabat yang bernama Ltd. Cantik, dan pelik. Seperti rekaan rumah bangsawan Inggeris. Derapan kaki dijaga, dilangkah amat berhati-hati. Cuba berjalan sesopan mungkin. Sesopan lelaki terengganu terakhir.

"Assalamu'alaikum.." Burhanudin memberi salam, diringi senyuman. Jelas loghat terengganu pada hujung perkataan "kum" nya itu.

Dia kini sudah berada di bilik mesyuarat, yang seakan 'bilik gerakan'. Ada papan putih, dan ditengahnya terdapat meja bujur bulat coklat. Malah meja itu sudah penuh. Dia terkesima.

"Frc kan? Err.. Maaf lambat.."

"Wa'alaikumussalam, jemput duduk. Tak apa.." Mereka yang sudah di dalam menjawab hampir serentak. Semua tersenyum.

Dia duduk. Mengambil tempat yang kosong di hujung.

"Isk, betul ke aku duduk di sini ni? Semua nampak macam berkaliber je. Isk." Ngomelnya dalam hati. Dia bimbang. Semalam dia mendapat panggilan dari pejabat, katanya, dia terpilih untuk menjadi perwakilan naqib.

Sesi ta'aruf. Matanya memerhatikan seorang demi seorang. Dari Majdi, sahabatnya yang memang sudah sedia kenal. Hinggalah kepada, seseorang. Falaha, yang ketika itu tekun menulis. Mukanya memang kelihatan amat rajin sekali. Menyalin biodata sahabat-sahabatnya yang memperkenalkan diri. Memakai tudung jingga lembut, digandingkan bersama baju kurung kuning berbunga merah.

Dan ketika itu sampai gilirannya.

"Assalamu'alaikum, erm.. nama saya Nurul FalaHA.." Dia menekan sikit huruf Ha di belakang. Mungkin cita-citanya menjadi qariah negara suatu hari nanti.

Saya tinggal di shah alam..Selamat berkenalan ya." Sambungnya sambil mengangguk kepala ssedikit.

"Cantik juga Falaha ni ya.. hurm.." Din mengelus dalam hati.

"Isk, tak boleh-tak boleh. Astaghfirullahhal 'azim.. terlari niat pula aku ni." Din menggeleng-geleng kepala. Geleng dalam senyum.

"Saya harap semua dapat bekerjasama dengan baik ya.." Kata brother Izdihar, berkaca mata. Kelihatan segak orangnya.

"InsyaAllah.. " Semua menamkan azam. Mengikat tekad di hati.

"Dan dalam 2 minggu lagi, insyaAllah, kita akan ada Fastrain.. " Tambah bro izdihar lagi.

"Fastrain? Maksud ustaz, keretapi laju?" Amalina bertanya. Memang tak tahu, atau berpura-pura tak tahu, ntah la.

"Isk, kamu ni. Facilitator training lah. Untuk semua fasi. Untuk melatih menjadi lebih fasi yang lebih baik, lebih bekemahiran insyaAllah.. ok?" Bro izdihar tersenyum.

"Baik Bos!"

Tarikh dicatatkan, malah disematkan di minda, malah hati. Agar tak terlupa. Dan seperti power rangers yang baru selesai menerima arahan Zorro dan Alpha. Semua keluar, dengan satu azam dan semangat baru.

Membayangkan sebuah keseronokan dan pengalaman berharga yang akan di dapati di fastrain nanti..